SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH KIBLAH

 

Sekolah Kiblah merupakan sebuah Institusi Pengajian Swasta Berasrama Penuh. Pada awalnya Sekolah Kiblah beroperasi pada Januari 1993 di Tanjung Kling dengan nama Institut Kiblah, 17 Km daripada Melaka Bandaraya Bersejarah. Memulakan pengajian dengan hanya 12 orang pelajar sahaja di rumah peninggalan keluarga Allahyarham Dr Mohammad Nor, salah seorang pengasas Sekolah Kiblah dan pengasas kepada Koperasi Homeopathy Melaka Berhad.

Setahun kemudian, Sekolah Kiblah telah berpindah ke Pedas, Negeri Sembilan. Pada awalnya nama Sekolah Kiblah diberi nama Kolej Kiblah. Di sinilah bakal dibina kompleks Sekolah Kiblah dengan keluasan tanah 104 ekor. Kedudukannya agak sesuai memandangkan ianya jauh daripada kesibukan bandar dan sangat dekat dengan susur keluar tol Pedas-Linggi jika melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Pihak sekolah telah membina kelas-kelas pengajian dan asrama pelajar secara berperingkat. Namun begitu, ketentuan Allah Taala mengatasi semua perancangan makhluk-Nya.

Pada akhir tahun 1995, Sekolah Kiblah mula berpindah ke Sungai Merab Jaya, Bangi, Selangor. Kali ini Sekolah Kiblah menyewa satu pusat latihan bina insan yang dimiliki oleh Tn Hj Hasan bin Mukhtar. Prasarana di sini agak baik kerana susun aturnya agak menepati iklim atau suasana sebuah sekolah. Memiliki kelas-kelas pengajian yang agak selesa, dewan utama, dewan makan, asrama pelajar, pejabat dan padang bola. Kebanyakkan binaan di sini diperbuat daripada kayu atau papan.

Pada tahun 1997, Sekolah Kiblah berkembang maju dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz Kiblah di lokasi yang sama. Majlis perasmian Maahad Tahfiz Kiblah disempurnakan oleh Syeikh Muhammad Abdul Kadeer Mandiliy dan Syeikh Sulaiman As Saloomi. Kedua-duanya adalah antara pengasas kepada penubuhan Sekolah Kiblah. Pada awal penubuhannya, hanya terdapat seorang guru tahfiz sahaja, Ust Hafiz Ibrahim dan 15 orang pelajar.

Tiga tahun selepas itu iaitu pada tahun 2000, Sekolah Kiblah maju setapak lagi dengan tertubuhnya Sekolah Kiblah Perempuan di Sungai Merab Hulu, 4 km daripada lokasi Sekolah Kiblah Lelaki. Bangunan ini juga dimiliki oleh keluarga Tn Hj Hassan bin Mukhtar dan dijadikan tempat latihan seperti di Sungai Merab Jaya. 

 

Setelah 14 tahun beroperasi di Sungai Merab Jaya, Sekolah kiblah sekali lagi berpindah ke tapak Asrama Bestari, milik Yayasan Selangor yang terletak di Ampar Tenang, Dengkil pada 26 Julai 2010. Lokasi baru ini agak strategik kerana ianya terletak di antara KLIA, Putrajaya dan Cyberjaya. Susun atur bangunan ini sememangnya seperti sebuat sekolah dan sangat selesa dengan kemudahan yang ada.

 

Setelah menempuh berbagai ranjau dan cabaran setelah sekian lamanya, akhirnya tibalah masa Sekolah Kiblah berlabuh ke destinasinya yang terakhir. Terletak di Jenderam Hulu bersebelahan Bukit Unggul dan Nur Bukit Unggul, di situlah Kompleks Pendidikan YAKIN dibina yang menempatkan 3 Institusi Pendidikan ; Sekolah Kiblah ( lelaki dan perempuan ), Maahad Tahfiz Kiblah ( lelaki dan perempuan ) dan Pusat Matrikulasi Bahasa Arab ( dalam perancangan ). Tempat ini telah pun beroperasi pada tahun 2013 apabila Maahad Tahfiz Kiblah mendudukinya buat kali pertama. Pada penghujung tahun 2013 pula, Sekolah Kiblah ( lelaki ) telah berpindah ke sini dan beroperasi secara rasminya pada tahun 2014.

Pada penghujung tahun 2014 ( dengan izin Allah ), Sekolah Kiblah ( perempuan ) yang beroperasi di Dengkil berpindah secara keseluruhannya ke kompleks ini dan memulakan pengajian secara rasmi pada tahun 2015. Maka tamat sudah episod pelayaran yang sungguh panjang ini dan sekalung doa untuk mereka yang telah menabur bakti setelah sekian lamanya hingga ke hari ini. Semoga Allah Taala memberkati usaha murni ini, aaminn.

Pada penghujung tahun 2016, pihak pengurusan Kiblah berhasrat membuat tawaran pengajian Tahfiz Kemahiran / Vokasional sebagai satu nilai tambah kepada Maahad tahfiz Kiblah. Dengan bantuan Ibnu Syarikat Hayyan, sebuah syarikat berdaftar telah bersetuju memberikan bantuan kepada Kiblah untuk mengendalikan Tahfiz Kemahiran/Vokasional. Hanya mengambil pelajar daripada Tingkatan 4, pelajar mampu memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia ( SKM ) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran ( JPK ) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Alhamdulillah, Januari 2017, hasrat ini terlaksana apabila Sekolah Kiblah berjaya melaksanakan program ini dengan pengambilan pelajar seramai 14 orang.

Pada Tahun 2017 juga, Sekolah Kiblah terus berkembang pesat dengan tertubuhnya Kelas Pra Madinah ( Tingkatan 6 ). Kelas ini bermula dengan pengambilan pelajar seramai 17 orang dan pengajiannya bermula Januari 2017. Kelas ini adalah sebahagian daripada syarat pengiktirafan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Kelas ini hanya menumpukan pengajian dalam bidang agama dan pengajiannya memakan masa selama 7 bulan sahaja. Corak pengajian mereka adalah bersifat kolej atau universiti di mana penekanan terhadap Bahasa Arab dan penulisan bahas amat diutamakan.

 

KALENDAR AKTIVITI KIBLAH ( SEPANJANG OKTOBER 2017 )
0000-00-00:
Item Title of Your event
Tarikh Kemaskini: 0000-00-00 00:00